Shila Amzah Atur Sidang Media Khas Bagi Meleraikan Kontroversi | Kesian pulak Dr Fuh tengok Shila Amzah yang sedang dilanda kontroversi dengan Sharnaaz Ahmad dan juga bapanya ND Lala. Tapi nak buat macam mana kan, macam tu la dunia artis.
Penyanyi lagu "Patah Seribu", Shila Amzah bakal mengadakan satu sidang media khas bagi menjawab segala persoalan berhubung kemelut antara dirinya, bapanya, ND Lala dan kekasih, Sharnaaz Ahmad.
Menurut laporan dari Utusan Online, ND Lala tidak membenarkan Shila ditemubual oleh pihak media pada majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina yang diadakan di Pulau Pinang baru-baru ini.
"Macam inilah, saya akan mengadakan sidang akhbar khas dalam masa terdekat untuk jawab segala persoalan. Tarikh dan tempat juga akan dimaklumkan kelak," ujarnya.
Penyanyi berusia 23 tahun ini telah dihampiri oleh wartawan selepas selesai persembahan pada mulanya bersetuju untuk ditemu ramah namun dia yang dikawal ketat oleh sekumpulan pengawal peribadi serta pasukan keselamatan sepanjang majlis itu dilarang berbuat demikian.
Tindakan pengawal peribadi tersebut telah membuat Shila kelihatan terpinga-pinga dan hanya berdiam diri sebelum dibawa pergi.
Kisah cinta Shila dan Sharnaaz menjadi semakin tegang apabila aktor "Juvana" itu berkeras mahu menghantar rombongan merisik pada bulan Mac ini walaupun ND Lala didakwa tidak merestui hubungan tersebut.
Shila yang sebelum ini menghilangkan diri selepas pulang dari Shanghai, China kerana tertekan telah memuat naik video rakaman kesedihannya sambil menangis teresak-esak dan menyanyikan lagu "Ombak Rindu" di laman YouTube, Jumaat lalu.